Tuesday, May 26, 2009

Anak-anak degil atau ibu bapa yang degil?


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Bismillahirrahmanirrahim..

Saya mulakan dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang..sesungguhnya saya terlalu kerdil untuk memulakan tulisan ini. Mohon supaya Allah memberi idea yang baik dan bernas serta tidak terpesong sepanjang penulisan ini kerana saya bukanlah seorang ustaz atau seorang pakar keibubapaan yang lebih layak menghuraikan isu ini. Hasrat di hati sekadar ingin berkongsi dan mengalu-alukan sebarang pandangan di ruangan komen agar dapat diperbaiki segala kelemahan atau kesilapan. Jika ianya baik moga Allah menjadikannya bermanfaat untuk kita semua.

Saya fikir ramai daripada kita akan bersetuju jika saya katakan anak-anak yang degil sememangnya mencabar kesabaran kita sebagai ibu atau bapa. Saya sendiri dan isteri mengalaminya. Perkara diminta, tidak dilakukan tetapi bila tidak diminta, tau-tau saja telah pon selesai dan terlambat untuk ditegah. Perkara seperti ini ditambah dengan kepenatan kita bekerja (urusan mencari rezeki) seharian memang cepat saja membuatkan kita melenting. Persoalannya apakah faktor yang menyebabkan anak-anak ini menjadi degil? Siapa yang menyebabkan anak-anak menjadi degil? Apakah cara terbaik untuk menanganinya? Patutkah mereka dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kedegilan mereka?

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana kita dimurahkan rezeki dengan mendapat anak-anak. Ada ramai pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin tetapi masih tidak beroleh anak. Mereka terlalu mengimpikan biarpon seorang sahaja anak buat menyeri rumah tangga mereka dan sebagai lambang kasih sayang suami dan isteri kerana Allah. Maha suci Allah Pencipta perasaan kasih, sayang dan cinta. Sedangkan kita yang telah beroleh anak-anak ini tidak pula tahan dengan karenah dan kedegilan anak-anak. Marilah kita sama-sama berdoa agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan dipermudahkan segala urusan mendidik mereka.

Didikan

Melalui pembacaan saya, Rasulullah SAW mengajarkan kita supaya mendidik anak-anak selepas kelahiran dengan membahagikan atau mengkategorikannya kepada 4 tingkatan:

Pertama: umur 1-7 tahun. Pada masa ini, Rasulullah menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi clan menyayangi anak dengan kasih yang tidak bertepi dan sayang yang tidak berbatas. Biarkan anak-anak pada masa ini bermandikan kasih sayang.

Kedua: umur 7-14 tahun. Pada masa ini Rasulullah memerintahkan kita untuk mula menanamkan disiplin kepada anak-anak dengan mengajar dan memerintahkan mereka untuk mengerjakan solat.

Bahkan apabila umurnya sudah 10 tahun, seorang ayah boleh memukul anaknya apabila enggan mengerjakan solat.

Berdasarkan kajian pakar-pakar ilmu jiwa anak, sememangnyalah pada umur 7- 14 tahun ini masa terbaik untuk menanamkan disiplin dan pembentukan sahsiah seorang anak.

Pada saat ini pula seorang ayah akan menjadikan anak itu seorang Muslim atau Yahudi, Nasrani dan Majusi seperti yang dikatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya bahawa setiap anak yang lahir dalam keadaan suci. Maka, ayah dan ibunyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Ketiga: umur 14-21 tahun. Pada masa ini, orang tua sudah menukar penanaman disiplin dengan cara yang agak keras kepada cara rasional.

Orang tua sudah semestinya mendidik anak dengan cara menjadikannya sahabat dalam berdiskusi, mengajaknya ikut dalam membincangkan masalah keluarga dan diberikan satu-satu tanggungjawab dalam hal-hal tertentu di rumah.

Hal ini penting agar anak berasa dirinya punya tanggungjawab dan telah dewasa sehingga sudah mesti mengambil berat hal-hal dalam keluarga.

Keempat: umur lebih 21 tahun. Pada masa ini, orang tua sudah boleh melepaskan anaknya untuk belajar menempuh hidup akan tetapi tetap melihat perkembangannya dan memberikan nasihat serta peringatan-peringatan apabila anak tersalah atau terlupa.

Persoalan lagi, berapa ramaikah di antara kita yang mengamalkan kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah ini? Malah mungkin boleh dikatakan kebanyakan daripada kita langsung tidak mengamalkannya.

Ini menyebabkan ada ibu bapa yang terlebih memberi kasih sayang kepada anak-anak hingga anak-anak berumur 15 atau 18 tahun barulah masing-masing sibuk hendak mengajarkan anak-anak solat. Anak-anak yang telah terlalu dimanjakan ini bukan sahaja enggan untuk bersolat malah akan timbul perasaan marah kepada kedua ibubapanya apabila dipaksa sedangkan sebagaimana yang kita tahu hakikat solat boleh menghindarkan mereka dari perbuatan keji dan mungkar.

Ada sesetengah ibu bapa pula terlalu keras mengajarkan anak-anak dengan penuh suasana disiplin dengan membuta-tuli tanpa mengira umur dan perkembangan kedewasaan anak sehingga menyebabkan anak-anak rasa dizalimi oleh ibu bapanya dari segi hak-hak tertentu.

Oleh hal yang seperti ini, anak-anak akan rasa tertekan. Hidupnya di rumah mungkin dirasakan seperti neraka. Panas semuanya. Mereka mula bertindak menjauhkan diri dari ibu bapa dan akhirnya terdorong untuk mencari ’ketenangan’ di luar.

Minda anak dan minda kita

Pernahkah kita berfikir bahawa minda anak dan minda kita mungkin berbeza. Mungkin terdapat jurang yang begitu luas antara kita sebagai ibu bapa dan anak-anak. Ini menyebabkan kita sukar berkomunikasi dengan mereka. Komunikasi yang baik seharusnya dengan meletakkan diri kita di tempat mereka agar kita lebih memahami. Jadi, kita perlu gunakan bahasa yang mudah untuk mereka fahami. Penerangan yang jelas tentang sebab dan akibat setiap arahan / larangan dan sebaiknya hingga sampai kepada pemahaman kepada psikologi anak-anak.

Saya percaya ada antara anak kita pernah meminta untuk dibelikan buku latihan untuk kegunaan sekolah. Biasanya kita akan tanya anak tersebut seperti ini:

”Buku yang kita dah beli dulu dah penuh ke?”.

Anak menjawab: ”Cikgu suruh beli jugak”

Kita: ”Ala kenapa dengan cikgu ni? Buku yang dulu tu kan ada lagi?”

Anak: ”Nanti cikgu marah”

Kita: ”Ala takpela nanti ayah bincang dengan cikgu la. Ayah ada kerja sekarang ni” Sambil meneruskan kerja yang sedang dibuat.

Si anak berlalu sambil menundukkan kepala.

Daripada dialog di atas, isu yang diketengahkan oleh anak-anak ini seringkali kita anggap terlalu kecil untuk dirisaukan. Sedangkan bagi mereka mungkin ianya terlalu besar dan berat. Mereka mungkin takutkan cikgu yang garang, takut dan malu ditertawakan oleh kawan-kawan, merasa rendah diri dan terhina bila didenda dan yang paling membimbangkan ialah mereka akhirnya membuat kesimpulan bahawa ibu bapa tidak mempedulikan mereka oleh hal yang remeh temeh ini bagi kita.

Sikap kita hari ini

Sabda Rasullullah SAW, ” "Didiklah anak kamu 100 tahun sebelum dia dilahirkan." Hadis ini amat singkat tetapi maksudnya mendalam kerana ungkapan 'seratus tahun sebelum lahir' ini menggambarkan persediaan yang jauh lebih awal sebelum anak itu dilahirkan oleh ibunya ke dunia ini.

Pakar kesihatan dan ahli jiwa berpendapat bahawa keadaan ibu bapanya mempengaruhi sifat serta perilaku anak-anak yang akan dilahirkan. Ertinya, perbuatan dan sikap ibu bapanya sedikit sebanyak mempengaruhi perkembangan fizikal dan mental bayi yang akan dilahirkan.

Di antara pendapat pakar itu dengan hadis Rasulullah s.a.w. di atas sebenarnya memiliki kesesuaian dan sealiran. Ini kerana makna hakikat mendidik anak `seratus tahun sebelum lahir' dalam hadis Rasul adalah dengan cara mendidik diri setiap dari kita terlebih dahulu dengan melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan dan meninggalkan semua bentuk maksiat.

Mungkin inilah yang dikatakan dalam satu syair orang Arab: "Kaifama takun yakun abna'aka" yang bermakna bagaimana kamu hari ini, begitu pulalah anak-anakmu pada masa hadapan.

Seorang ayah dan ibu kadang-kadang lupa dan leka dengan menganggap perbuatan dan sikap mereka ketika ini tidak memiliki hubung kait dengan masa depan anak-anak mereka.

Padahal setiap orang tua sebenarnya bukan hanya akan mewariskan harta kepada anak mereka tetapi juga akan mewariskan sikap dan pandangan hidup.

Jadi, sudahkah kita memberi yang terbaik untuk anak-anak kita? Jika belum, anak-anak kah yang degil atau ibu bapa yang degil? Tepuk dada tanya selera!

Allahhu’alam.


Friday, May 22, 2009

Hari Ulangtahun..




Buntu


Seoarang suami bergegas pulang dari pejabatnya hari ini. Tidak seperti hari lain langkahnya diatur lebih laju dari kebiasaan. Semuanya kerana memikirkan bahawa esok merupakan hari ulangtahun kelahiran isterinya yang dicintai. Dia telah merancang untuk singgah di sebuah pasaraya bagi membeli sesuatu yang akan diberikan kepada isterinya berupa hibah tanda ingatannya kepada isteri.

Tapi fikirannya masih buntu memikirkan apakah barang yang patut dibelinya. Sempat juga sebelum keluar dari pejabat tadi dia melakukan carian barang yang sesuai di internet. Pastinya di zaman dunia tanpa sempadan ini semua maklumat boleh dicapai di hujung jari sahaja. Namun hasil di enjin carian tidak banyak membantu. Ketika diajukan soalan kepada isterinya tentang apa yang dihajatinya pada tahun ini. Isterinya hanya memberikan kata kunci umum sahaja iaitu dia sukakan barang yang tidak terduga dan bersifat romantis. "Ah terlalu sukar untuk ditafsir oleh naluri lelakinya" fikirnya. Namun, untuk tidak menghampakan isterinya dan bimbang dikatakan tidak mengingati tarikh ulangtahun kelahirannya yang mungkin mengundang rajuk yang panjang si suami meneruskan langkah menaiki tingkat demi tingkat dalam pasaraya di satu tempat dalam pertengahan jalan ke rumahnya sambil mata membelek satu persatu barang yang mungkin sesuai untuk dijadikan buah tangan dan diberikan kepada si isteri. Namun semuanya difikirkan tidak sesuai dan mungkin si isteri tidak menyukainya. Teringat beberapa minggu kebelakangan si isteri ada memberitahu tentang hajatnya untuk memiliki sebuah oven elektrik.

Bahagian Alat-alat Elektrik

"Ya itu pilihan yang tepat" bisik hati kecilnya. Lalu langkah di atur ke bahagian alat-alat elektrik untuk meninjau oven yang mungkin sesuai untuk si isteri. Sampai sahaja dia di bahagian tersebut memang terdapat beraneka pilihan oven sedia untuk dipilih. Hati lelakinya berbunga gembira. Sekurang-kurangnya dapatlah dia membahagiakan hati isterinya pada kali ini. Harganya pon tidaklah semahal mana dan dia berkeupayaan untuk merealisasikan hasrat isterinya itu. Namun setelah dicongak-congak ada masalah besar untuk membawa balik oven tersebut yang agak besar saiznya sementelah pula dia hanya bermotosikal pada hari itu. Teksi pula agak sukar untuk didapati pada waktu tersebut. "Hmm macamana ni?" dia bertanya sendiri. Mata melihat jam ditangan. "Oh telah masuk waktu Maghrib" bisiknya. Akhirnya ditunda sahaja hajatnya dulu.

Seruan Ilahi

Dia bergegas ke surau berhampiran di dalam pasaraya tersebut bagi menyahut seruan yang lebih penting dari segalanya di dunia ini. "Solat wajib ditunaikan dahulu" getusnya sambil melawan godaan syaitan dan nafsu yang masih menyuruh dia meneruskan pencarian. "Tunaikan dulu yang lebih penting" hatinya bertegas. "InsyaAllah semuanya akan lancar nanti" bisik hatinya lagi meyakinkan diri.

Kereta rosak

Selang beberapa hari sebelum itu, si suami telah diuji bilamana kereta yang menjadi pengangkutan penting kepadanya bilamana diperlukan seperti pada waktu-waktu hujan atau perlu membawa barang-barang yang banyak atau besar telah mengalami kerosakan major dan sekarang masih tersadai dibengkel. Maklum sahaja kereta tua. Hanya itu yang dia mampu. Itu pon sudah besar rahmat. Memperbaikinya memerlukan masa yang agak panjang dan tentu sahaja kosnya juga tinggi. Sebuah kereta lagi yang agak baru digunakan oleh isterinya berulang-alik ke tempat kerja dan menguruskan anak-anak. Anak-anak iaitu 2 orang puteri diuruskan kebanyakannya oleh isteri sementelah dia bekerja di lokasi yang agak jauh dari rumah dan tempat asuhan anak-anak sejak hampir dua tahun lepas. Disebabkan itulah juga dia tidak punya kereta untuk membawa pulang oven elektrik yang hajatnya ingin diberikan kepada isterinya.

Pencarian diteruskan

Selesai solat Maghrib dan berdoa, si suami meneruskan pencarian. Kali ini dia memilih untuk cuba mencari di deretan kedai-kedai di luar pasaraya pula. "Mungkin ada kedai cenderahati di luar" fikirnya memikirkan alternatif. Dia berjalan dari satu blok ke satu blok kedai namun hampa. Masih tidak ketemu apa yang difikirkan sesuai dan bakal membuat isterinya suka. Akhirnya, dia terlihat sebuah kedai kek. "Oh Inilah kedai kek yang pernah dia kunjungi semasa masih bujang dahulu" fikirannya dapat mengingati sesuatu. Sudah agak lama dia tidak berkunjung dan meneroka deretan kedai-kedai di sini. Ini kerana telah hampir 2 tahun dia berpindah pejabat yang agak jauh. Sudah banyak perubahan di sana-sini. Kedai-kedai yang dulunya ada telah berganti dengan pengusaha baru. Namun begitu masih banyak juga kedai-kedai lama yang masih seperti dulu termasuk kedai kek tersebut.

"Beli kek lah" hatinya memutuskan. Tanpa berlengah dia memasuki kedai kek kerana tidak lama lagi waktu Isya' akan menyapa. Lagipon teringat puteri sulongnya yang telah memasuki usia enam tahun sangat menggemari kek. "Dua dalam satu" hatinya berbunga. Setelah hiasan ringkas kek disiapkan oleh pekerja kedai kek tersebut dan kek dimasukkan ke dalam kotaknya sebelum dibungkus dengan beg plastik, dia membawa kek ke luar dari kedai tersebut. "Alamak macamana pula nak bawa kek ini dengan menaiki motosikal sedangkan motosikal tidak punya raga". Kotak barang di belakang pula kecil dan sarat dengan jaket hujan dan selipar kecemasan yang biasanya digunakan menggantikan kasut bagi mengelakkan kasut pejabatnya basah dan dibanjiri air. "Hmm tawakal sajalah. Nanti fikirkan sesuatu" pujuk hatinya berserah.


bersambung..



p/s: cerpen ini didikasi untuk isteri tercinta. Selamat Hari Ulangtahun kelahiran - 19-05-2009

Wednesday, May 20, 2009

Yg Dirindui, Rumah Mu



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Ayat - ayat cinta..




Tersentuh hati lelaki ini bila membaca artikel nukilan ummuhusna99. Jadi, saya pastekan artikel beliau untuk dikongsikan.

QURRATU'AYUN AYAT CINTA KAMI

Mata saya berkaca menatap ayat indah itu. Semakin lama saya menghayatinya, sebak kian melanda jiwa. Saya menyeka air mata dengan hujung telekung bercorak bunga warna coklat muda, hadiah dari suami tercinta. Belum pernah jiwa saya tersentuh sebegitu walau telah saban kali mengulangi ayat yang sama. Namun impaknya kali ini amat berbeza. Ayat yang sangat mudah dilafaz, tapi amat payah untuk direalisasikan dalam kehidupan moden hari ini. Bukan semudah mengungkap ayat-ayat cinta kala kasih bersemi.


Rasulullah SAW telah banyak kali menegaskan di sepanjang kehidupan Baginda. Antaranya sabda Baginda yang bermaksud :

“ Tidakkah ingin kalian aku khabarkan tentang perkara terbaik dan paling berharga yang boleh dimiliki oleh seseorang? Iaitulah, isteri yang solehah, yang cirinya adalah menggembirakankan apabila memandang kepadanya. Jika disuruh, dia mentaatinya, dan bila kamu tiada, dia memelihara ( rahsia dan hartamu ) dengan sebaiknya.” ( Riwayat Abu Daud dan al Hakim )

WANITA SEBAGAI ISTERI PEMBANGUN JIWA

Sudah lama saya mendengar dan membaca kisah Sayyidatina Khadijah, Aisyah, Fatimah, Ummu Sulaim, Ummu Salamah dan lain-lainnya, tapi baru kali ini saya benar-benar menghayati apa yang tersirat di sebalik kisah mereka. Terlalu besar peranan seorang isteri untuk menjadi penenang jiwa seorang suami.

“Apa pandangan abang tentang peranan seorang isteri dengan merujuk kisah Sayyidatina Khadijah, Fatimah dan yang lainnya? “ Suatu petang, saya bertanya suami, ingin tahu.

“ Seorang isteri yang berperanan sebagai penyejuk dan penenang hati, bukan sahaja memberi kesan kepada suami, bahkan juga kepada negara, “ suami saya menjawab sambil memandang tepat ke anak mata saya.

“ Mengapa begitu besar kesannya? “ saya bertanya, supaya suami melanjutkan perbincangannya.

“ Jika hati, pemikiran dan sikap suami mampu ditenang oleh isteri dan anak-anak sebagai ‘cahaya mata’ penyejuk jiwa dan raga, maka sudah pasti dia akan menjadi lelaki yang bijak serta tenang dalam mengambil sebarang keputusan dalam kerjayanya. Kebijaksanaan itu akan turut dimanfaatkan oleh masyarakat dan dunia, ” ulas suami sambil memandang jauh ke luar jendela.

“ Seterusnya hasil dari ketenangan di rumah juga, suami akan melihat dunia sebagai amanah yang dígalas atas nama Allah Azza wa Jalla, dan bukan sebagai habuan kepada nafsu yang bermaharajalela. Dunia baginya merupakan tempat untuk membalas kebaikan keluarga, lalu dia menjadi seorang lelaki yang baik dan soleh. Tidakkah beruntung seluruh warga alam andai semua lelaki bersikap begini? ” ujarnya lagi.

Saya mengangguk tanda sangat bersetuju dengan pandangannya itu. Memang benar, telah banyak kita melihat ramai lelaki yang nafsunya tidak selesai di rumah, akhirnya merosak anak gadis dan isteri orang di luar rumah. Mereka juga menjadi pelanggan setia, memeriahkan bisnes pelacuran di pinggir ibu kota. Mencetus caca marba dalam masyarakat serta membawa virus dosa dan akhirnya apabila kejahatan melata maka akan semakin kurang redha Allah terhadap masyarakat. Bala mula menimpa akibat dari nafsu lelaki yang tidak dirawat sebaiknya oleh isteri di rumah.

Juga, telah acap kali kita mendengar berapa ramai lelaki yang minda dan hatinya kusut, tidak tenang lantaran isteri yang gagal menyuntik kedamaian. Kesannya, suami yang gersang jiwanya ini akan bertukar ganas umpama serigala rimba. Segala keputusan diambil tanpa rujukan agama, pertimbangannya menjadi tempang akibat tiada damai di rumah. Sebagaimana seorang hakim membuat keputusan dalam keadaan diri resah gelisah dan marah, tentu saja hukuman yang salah dan tidak tepat akan terlaksana dan ini tidak dibenarkan oleh Nabi sa.w.


CIRI-CIRI WANITA PENENANG JIWA

Tidak dinafikan hari ini telah mula bangkit suara dan laungan sekumpulan wanita pejuang feminis, yang memandang hina kisah-kisah wanita solafussoleh ini. Mereka mendakwa Islam menganjurkan isteri menjadi ‘hamba’ kepada suami. Alangkah malangnya ‘pejuang wanita ‘ seperti ini disebabkan mereka berfikir menggunakan aqal bersalut nafsu dan bukan dengan mata hati bersuluh cahaya iman.

Mereka gagal melihat apa yang tersirat, bahawa dunia ini binasa disebabkan oleh tangan-tangan manusia sebagaimana yang pernah ditegaskan melaui firmanNya. Jika dulu, hanya tangan-tangan lelaki yang menjadi golongan majoriti membuat keputusan kononnya untuk pembangunan dunia, namun kini tangan-tangan wanita telah terheret sama menyumbang kepada kerosakan apabila mereka mula berjawatan dan turut sama membuat keputusan.

Bagi saya tiada lain yang lebih beerti selain kembali merujuk kepada srikandi Islam di zaman silam. Mereka merupakan contoh tauladan buat seorang isteri yang layak menjadi ‘qurratu’ayun’ seorang suami. Mereka memiliki segala yang diidamkan, antaranya :

1 ) Isteri yang cerdik. Kecerdikan seorang isteri bukan diukur dari segulung dua ijazah yang diraih dari universiti atau kolej-kolej tinggi. Akan tetapi, kecerdikannya terserlah pada sifat mengenali dan memahami keperluan suami semasa suka mahu pun duka. Dia pandai mengambil hati suami dengan perilaku yang manja dan lemah lembut. Tutur katanya halus dan berhati-hati agar suami tidak terasa hati. Gurauannya bersahaja sangat menyenangkan jiwa. Dia juga bijak mengangkat nilai suami pada pandangan orang lain dan sentiasa bersedia untuk diajak berbual apa sahaja tanpa rasa jemu dan perasaan layu.

Isteri yang pandai membaca riak rasa seorang suami sama ada gembira atau sebaliknya, menjadi penguat semangatnya untuk melakukan yang lebih baik pada esok hari. Kerana itu, ada pepatah mengatakan, di belakang seorang lelaki berjaya, ada seorang wanita bernama isteri yang sentiasa mendorong dan meniup semangat juangnya.

2 ) Sentiasa mendahulukan suami dari yang lain. Seorang isteri yang solehah dinilai dari ketaatannya kepada suami dalam apa jua perkara selagi ia tidak melangkaui batasan agama. Kesetiaan kepada suami didahulukan dari orang lain termasuk ibu dan bapa. Keizinan suami sentiasa diminta agar redhanya selalu mengiringi, sehinggakan untuk berpuasa sunat juga isteri perlu meminta izin suami sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud :

"Tidak halal bagi seorang isteri yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk berpuasa , sedangkan suaminya ada di sampingnya kecuali dengan keizinan suaminya itu."(Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan Ahmad Ibn Hanbal)

3 ) Mengurus rumahtangga. Tanggungjawab seorang isteri yang tidak kurang pentingnya ialah untuk menjadikan tempat tinggalnya sebagai tempat untuk berehat serta menghasilkan persekitaran yang menyenangkan. Anak-anak dijaga makan dan pakai, begitu juga suami yang sentiasa dipenuhi keperluan dirinya. Rumah yang bersih, damai dan tenang akan menggembirakan penghuni yang berlindung di dalamnya. Jiwa yang tenang pasti akan melahirkan individu yang ceria gembira. Walaubagaimanapun, untuk menghias rumah, isteri perlulah mengikut kemampuan keperluan keluarga. Isteri harus pandai menghargai susah payah suami mencari nafkah buat perbelanjaan sehari-hari.

Suami mana yang tidak berbunga rasa sebaik menjengah ke dalam rumah, isteri menyambut dengan manja, anak-anak riang gembira dan rumah bersih senang dipandang mata.

4 ) Berhias hanya untuk tatapan mata suami. Isteri yang menyintai suami tidak akan membiarkan kecantikannya dilihat apatah lagi dinikmati oleh orang lain. Mata, bibir , tangan, kaki dan seluruh anggota tubuhnya hanya untuk santapan mata suami yang halal baginya. Oleh kerana itu, pakaian dan penampilannya di hadapan suami sentiasa dijaga. Pelupuk mata, pipi dan bibir yang disolek dengan warna menaikkan seri wajah hanya digunakan di hadapan suaminya. Akan tetapi bila berada di luar rumahtangga, semua itu ditinggalkan. Auratnya ditutup dengan rapi. Tidak juga dia memakai wangi-wangian yang boleh dihidu oleh lelaki lain agar keberkatan dalam rumahtangga tetap terpelihara.


QURRATU’AYUN AYAT CINTA KAMI

Saya kembali menatap sebaris ayat indah itu. Di dalamnya terkandung doa dan harapan. Doa kepada yang Esa serta pengharapan dari hati yang membacanya. Ia bagaikan ayat-ayat cinta yang menghidupkan seluruh jiwa saya untuk terus berbakti kepada anak-anak dan suami, malah melangkaui lebih jauh dari itu, suatu bakti kepada dunia melalui khidmat kasih setia kepada suami. Membantu suami agar tidak menjadi lelaki pembinasa masyarakat tetapi penyelamat dari fasad dunia. Saya membaca dan terus membaca dengan penuh keinsafan dalam jiwa.

“ Wahai Tuhan kami, kurniakan lah kami pasangan hidup dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata ( Qurratu’ayun ) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

( al Furqan : 74 )

Semoga kita semua berusaha meraih redhaNya sebagai qurratu’ayun dalam hidup seorang suami, amin.


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


p/s: Untuk ke blog penulis artikel ini sila klik di sini.

Wednesday, May 13, 2009

Meningitis??



Sejak 2 hari yang lalu isteri tercinta, ummu aqhar kerap bercerita mengenai penyakit meningitis. Apabila diajukan soalan-soalan lanjut ummu aqhar tidak pula dapat menerangkannya. Maklumlah beliau bukan doktor dan tentulah pengetahuannya mengenai penyakit ini sangat terbatas dan saya juga bukan doktor yang suka bertanya lebih lanjut untuk mengetahui apa yang mendasari kebimbangan isteri sehingga menyebabkan ummu aqhar bercadang untuk mendapatkan suntikan vaksin untuk kedua puteri kami Nurbatrisyia Aliza dan Nurqaireen Aliza. Ummu aqhar menyarankan saya membaca artikel yang telah disalinkan masuk ke dalam blognya untuk mengetahui serba sedikit maklumat berkaitan penyakit itu dan minta pendapat saya sama ada bersetuju atau tidak sekiranya puteri-puteri kami divaksinkan.

Disebabkan kesibukan dipejabat oleh kerana 2 hari ini saya dilantik sebagai Internal Auditor menyebabkan saya masih tidak berkesempatan untuk meluangkan masa membaca artikel berkenaan. Maklumlah sebagai auditor saya terpaksa pergi ke bahagian-bahagian yang ditetapkan dan tidak dapat berada di bilik saya apatah lagi membaca artikel berkenaan. Hari ini pula terpaksa menyiapkan laporan penemuan audit (audit finding) yang akan dikemukakan kepada pihak pengurusan dan seterusnya nanti akan ada sesi pembentangan. "Oleh kerana saya berada di pejabat, WAJIB dahulukan kerja" fikir saya.

Sejak 2 hari lepas juga saya cuba meluangkan masa di rumah untuk membaca artikel tersebut. Namun, masih tidak berkesempatan oleh kerana sampai ke rumah seperti biasa oleh kerana jarak yg agak jauh telah hampir waktu maghrib dan pada sebelah malam hari pertama, isteri mengajak saya keluar membeli beberapa keperluan di pasaraya GIANT berdekatan. Balik dari bershopping kena uruskan anak-anak sementara isteri memasak. Tumpuan yang lebih terpaksa diberikan terutama kepada puteri yang kecil oleh kerana sedang terlalu lasak dan perlu lebih perhatian orang dewasa memandangkan anak kami ini baru berusia 8 bulan. Lepas kami makan, jam telah menghampiri tengah malam.. mata pulak tak dapat bertahan oleh kerana keletihan sepanjang hari, jadi tak sempat juga membaca artikel tersebut. Pada hari kedua, sebelah malamnya isteri mengajak ke pasar malam. Balik dari pasar malam setelah solat Isya' terpaksa keluar pula kerana ada perlu jumpa seseorang untuk berbincang tentang satu perkara. Balik ke rumah jam telah 12.30 mlm. Kelihatan banyak benar alasan saya kan? Tetapi, memang sejak pulih dari demam yang agak teruk baru-baru ini saya tidak lagi berupaya untuk bersengkang mata hingga larut malam sekalipon ada kerja penting. Saya pasti tertidur tidak kira dimana tempatnya.

Jadi, setelah isteri merajuk kecil dengan saya (oleh kerana seolah-olah saya tak mahu ambil tahu), saya cuba meluangkan masa juga untuk membaca dan mengetahui tentang perkara ini. Cepat-cepat saya menyiapkan laporan yang sedang dibuat. Apa yang saya dapat tahu adalah artikel berkenaan mengisahkan pengalaman seorang bapa, Low yang kehilangan anaknya Low Chai Chai disebabkan anak beliau disahkan meninggal dunia akibat meningitis pneumokokus dan septisemia.

Mahu tahu lebih lanjut saya cuba mencari lebih info dan saya berjumpa dengan maklumat ini:


Meningitis

Penyakit Meningokokal

Meningitis meningokokal adalah radangan pada selaput sekeliling otak dan saraf tunjang dan boleh membawa kepada meningokokal septisemia (keracunan darah oleh bakteria meningokokus).

Penyakit meningokokal disebabkan oleh bakteria meningococcus Neisseria meningitides. Penyakit Meningokokal berjangkit secara langsung menerusi titisan rembesan respiratori dari hidung dan tekak orang yang dijangkiti. Penyakit ini kebanyakkannya berlaku di kalangan kanak-kanak berumur bawah 5 tahun. Ia juga kerap berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja. Mereka yang mempunyai tahap imuniti yang rendah dan rapat dengan pesakit, pelancong yang melawat ke kawasan endemik di dunia juga mempunyai risiko yang tinggi.


Tanda dan Gejala

5 %– 10 % adalah pembawa pembawa sihat yang tidak mempunyai gejala. Tanda-tanda dan gejala adalah seperti berikut:

Sakit kepala yang teruk

Demam

Loya

Muntah

Sakit tengkuk

Tidak boleh melihat cahaya

Ruam

Lain-lain tanda seperti mengantuk dan kebingungan (drownsiness & confusion)

Komplikasi

Berlaku Kematian:

5 – 15 % kes dengan terapi sempurna

50% tanpa rawatan

20 % di kalangan pesakit yang selamat mengalami masalah saraf termasuk pekak dan lumpuh.

Rawatan

Antibiotik chemoprophylaxis (seperti pencegahan penyakit menggunakan antibiotik) adalah disyorkan kepada kontak rapat sahaja. Vaksinasi selepas jangkitan tidak berkesan.

Pencegahan

Vaksin meningokokal:

Vaksin ini dipanggil Meningococcal Quadrivalent Vaccine ACYW-135

Disyorkan kepada pelancong / pelawat yang ke kawasan endemic seperti Afrika, Amerika Selatan dan Asia Tengah termasuk Arab Saudi bagi mereka yang mengerjakan haji atau umrah.

Diambil 2 minggu sebelum melancong / melawat dan boleh bertahan kira-kira 3 – 5 tahun

Imunisasi secara rutin kepada kanak-kanak adalah tidak digalakkan.

Boleh didapati di hospital kerajaan, klinik bergerak, poliklinik dan klinik swasta

Sejarah

Meningitis meningokokal telah dijumpai sejak 100 tahun yang lalu dan hanya beberapa dekad yang lampau para saintis berjaya mencari penyelesaian untuk menghalang jangkitan tersebut. tarikh-tarikh di bawah merupakan hari penting dalam penerokaan ini.


1805 -jangkitan ini telah merebak secara meluas di Geneva, Switzerland dan merupakan kes pertama yang telah dilaporkan

1807 -penemuan bacteria pertama yang menyebabkan penyakit meningokokal ialah Neisseria Meningitidis

1990 -awal dekad pertama abad ke-20 menunjukkan seramai 75 hingga 80 peratus manusia yang dijangkiti meningokokal mati

1994 -penciptaan ubat terbaru Penicillin berjaya digunakan untuk merawat pesakit meningitis meningokokal

1978 -pengenalan terhadap vaksin pertama yang mampu memberi perlindungan untuk melawan penyakit ini

1990 -pakar perubatan telah mengenalpasti bahawa golongan remaja dan orang dewasa adalah berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini

1997 -American College Health Association (ACHA) telah mengesyorkan supaya pihak kolej dan universiti perlu mendedahkan mengenai risiko penyakit ini kepada pelajar dan ibu bapa serta memastikan semua pelajar didedahkan dengan vaksin

1999 -US military akademi dikehendaki untuk mengambil vaksin ini

2000 -Advisory Committee on Immunization Practice (ACIP) ialah sebahagian daripada Centres for Disease Control and Prevention (CDC) mengesyorkan semua pelajar untuk mendapatkan vaksin ini

2003 -New York menjadi negeri pertama yang mengeluarkan undang-undang untuk mengambil vaksin bagi pelajar sekolah

2005 -FDA telah memberi lesen untuk mengeluarkan vaksin meningokokal yang baru. ACIP mengesyorkan vaksin meningokokal kepada kanak-kanak berumur 11 hingga 12 tahun, pelajar yang memasuki sekolah tinggi dan mahasiswa tahun pertama.



Wednesday, May 6, 2009

Guangzhou kami datang



Pada 11-06-2009 yang akan datang Abu Aqhar sekeluarga insyaAllah akan berada di Guangzhou China. Hajat di hati untuk membawa isteri tercinta dan 2 orang puteri yang dikasihi melihat tempat lain selain Malaysia (tanah kelahiran sendiri). Membayangkan berada di sana adalah berada di suatu dunia asing bagi kami dengan bahasa yang pastinya tidak difahami mungkin satu pengalaman yang menarik bagi kami. Menurut pembacaan saya, masyarakat di sana tidak memahami Bahasa Inggeris (yang dikatakan bahasa universal / antarabangsa).

Persediaan sedang diatur. Tiket telah selamat dibeli. Mengikut perancangan, kami akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun, Guangzhou, China pada 11-06-2009 lebih kurang jam 10.00 pagi. Saya sendiri masih belum dapat membayangkan dengan jelas keadaan di sana. Bagaimanapun, isteri tercinta Ummu Aqhar telah pon awal-awal menghubungi seorang sahabat (warganegara Malaysia) yang berada di sana bagi membantu kami merancang perjalanan sepanjang berada di kota yang dikatakan penuh dengan sejarah. Beliau berjanji untuk cuba membantu merancang perjalanan kami sekeluarga di sana.

Kami akan menginap East Asia Hotel, Guangzhou. Dari maklumat awal tempat-tempat yang mungkin akan dilawati adalah:

1. Yuexiu Park

2. Dr Sun Yet-Sen's Memorial Park

3. Guangta Mosque

4. Burning Cream Center

5. Beijing Road / One Link Plaza

6. Ersha Island

7. Zhujiang New City & Zhongxin Square

8. Silk Center

9. Shangxiaujiu Shopping Street

10. Taman Li, Jiangmen

11. Taman Zili

12. Akademi Kung Fu, Foshan - Wong Fei Hung pernah menjadi tenaga pengajar di sini sms hayatnya

13. Muzium peringatan Fei Hong

14. Muzium Seramik Shiwan, Foshan

15. Taman Safari Xiang Jiang

Apa yang pasti Guangzhou pernah menyaksikan kegemilangan tamadun Islam. Agama Islam di Percaya telah sampai ke China sejak lebih dari 1400 tahun yang lalu. Nabi Muhammad Saw., sebelum memulakan penhijrahan dari Mekkah ke Madinah telah lebih dulu menghantar beberapa orang sahabatnya pergi berdakwah ke China. Diantaranya adalah Saad bin Abdul Qais, Qais bin Abu Hudhafah, Urwah bin Uththan, dan Abu Qais bin Al-Harits. Misi dakwah yang dilaksanakan mereka berjaya melahirkan lebih 136 juta umat Islam yang ada di China hari ini.

Jumlah ini jauh lebih besar dari angka yang di berikan oleh pihak kerajaan China. Menurut data 1990, jumlah umat Islam di China hanya sekitar 17 juta orang saja. Bagaimanapun, data ini menimbulkan banyak keraguan kerana umat Islam membentuk penduduk majoriti di sebahagian besar wilayah China, seperti Xinjiang, Gansu, Hubel, Qinghai dan Yunan.

Walaupun tidak ada catatan yang tepat mengenai tahun kedatangan Islam di China, Catatan dari Dinasti Tang telah menjelaskan bahwa telah terjalin hubungan diplomatik antara pemerintahan China dengan pemerintahan Khulafa` Ar-Rasyidin, iaitu Sayidina Ustsman bin Affan. Catatan itu menyebutkan, pada awal pemerintahan dinasti Tang telah sampai orang asing ke China dari Madinah, Annam, dan Kamboja. Tiga orang asing yang berasal dari Madinah telah menyembah langit tanpa tugu dan patung di dalam Masjid. Mereka juga tidak memakan daging babi, tidak meminum arak, dan menyembelih hewan sebelum memakannya. Mereka kemudian menetap di Canton dan mendirikan tempat yang menarik. Mereka berniaga dan amat patuh pada pimpinan yang mereka pilih. Orang asing yang dimaksudkan ialah pedagang Arab yang telah membentuk satu komuniti yang cukup penting di Canton.

Pada pemerintahan dinasti Tang, telah terjadi pemberontakan. Pemberontakan An Xi yang terjadi tahun 755 Masihi menyebabkan kerajaan China berada dalam keadaan kacau. Para pemberontak telah menguasai beberapa kota besar dan wilayah. Perkara itu memaksa pemerintahan dinasti Tang, tang Zuan Zong, melarikan diri ke wilayah Sincuan.
Pemberontakan itu itu telah menimbulkan kesedaran kepada dinasti Tang berikutnya, betapa pentingnya untuk menjalin hubungan dengan kerajaan Islam. Melalui hubungan yang terjalin itu, kerajaan Islam yang berpusat di Arab telah membantu dinasti Tang menghapuskan pemberontakan dan memulihkan keamanan di China.

Untuk menghargai jasa dan bantuan yang di berikan, kerajaan dinasti Tang membenarkan tentera-tentera Islam tinggal di daerah Fang.
Di bawah Era pemerintahan dinasti Tang, Islam berkembang pesat di China. Setelah pemberontakan An Xi berhasil di tumpaskan, China berada dalam keadaan yang damai, dan menyebabkan Negara itu menjadi pusat perdagaan dan kegiatan ekonomi.

Hubungan baik di antara pihak pemerintahan dengan umat Islam di teruskan oleh kerajaan dinasti Song yang menggantikan dinasti Tang. Bahkan, hubungan dengan kerajaan di Arab terus dikukuhkan dengan datangnya para pedagang Arab dan Parsi yang membanjiri kota-kota besar. Para pedagang dan saudagar Arab telah menggunakan tempat yang diberikan untuk mendirikan Masjid di Guang Zhou, sebuah wilayah yang terletak di selatan China.

Salah satu Masjid tertua yang masih ada dan di gunakan sebagai tempat untuk beribadah ialah Masjid Nujie. Masjid ini dibangun tahun 996 Masehi sewaktu China berada dibawah pemerintahan dinasti Song. Masjid itu memperlihatkan cirri budaya dan kesenian China, yang membezakan dengan bagunan China yang lain adalah hiasan kaligrafi dan tulisan Arab yang memenuhi seluruh ruangan Masjid itu.

Disanalah masih tersimpan naskah Al-Quran tulisan tangan dan dua makam ulama yang tersohor pada zaman pemerintahan Kubilai Khan. Sewaktu bangsa Mongol memerintah Negara China, kerajaannya dikenal sebagai dinasti Yuan.

"Dan di atas bumi ada tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan juga dalam dirimu. Apakah tiada kamu perhatikan ?" (QS[ 51]: 20-21)

“Dan pada dirimu itu, mengapakah kamu tidak perhatikan tanda-tanda dan bukti kebesaran Dia?” [Adz-Dzaariyaat 51: 21]

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal;(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka. [Aal Imraan 3:190-1]

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun [Al-Israa' 17: 44]

Sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada [Al-Hajj 22: 46]

Semoga perancangan perjalanan kami dipermudahkan sebelum, semasa dan hingga kami kembali ke Malaysia.

Doa




Bismillahirrahmanirrahim..

Wahai Tuhanku..
Perbaikilah utk ku AGAMA ku yg menjadi pedoman hidupku..
dan perbaikilah utkku DUNIA ku yg padanya aku beroleh kehidupan..
dan perbaikilah AKHIRAT ku yg padanya tempat kembali ku..
dan jadikanlah HIDUP ini tempat bertambahnya segala kebaikan bagi hidupku..
dan MATI itu tempat utk ku beristirehat dari segala kejahatan…

Amin..

Demi..




Demi matahari dan sinarnya di pagi hari...
Demi bulan apabila mengiringi...
Demi siang apabila menampakkan diri...
Demi malam apabila menutupi...
Demi langit dan seluruh binaannya...
Demi jiwa dan penyempurnaannya...
Allah mengilhami jiwa kebaikan dan kebathilan
maka beruntunglah yang mensucikan
dan merugilah siapa yang mengotorinya

(Q.S. Asy Syams 1 - 9)