Buntu
Seoarang suami bergegas pulang dari pejabatnya hari ini. Tidak seperti hari lain langkahnya diatur lebih laju dari kebiasaan. Semuanya kerana memikirkan bahawa esok merupakan hari ulangtahun kelahiran isterinya yang dicintai. Dia telah merancang untuk singgah di sebuah pasaraya bagi membeli sesuatu yang akan diberikan kepada isterinya berupa hibah tanda ingatannya kepada isteri.
Tapi fikirannya masih buntu memikirkan apakah barang yang patut dibelinya. Sempat juga sebelum keluar dari pejabat tadi dia melakukan carian barang yang sesuai di internet. Pastinya di zaman dunia tanpa sempadan ini semua maklumat boleh dicapai di hujung jari sahaja. Namun hasil di enjin carian tidak banyak membantu. Ketika diajukan soalan kepada isterinya tentang apa yang dihajatinya pada tahun ini. Isterinya hanya memberikan kata kunci umum sahaja iaitu dia sukakan barang yang tidak terduga dan bersifat romantis. "Ah terlalu sukar untuk ditafsir oleh naluri lelakinya" fikirnya. Namun, untuk tidak menghampakan isterinya dan bimbang dikatakan tidak mengingati tarikh ulangtahun kelahirannya yang mungkin mengundang rajuk yang panjang si suami meneruskan langkah menaiki tingkat demi tingkat dalam pasaraya di satu tempat dalam pertengahan jalan ke rumahnya sambil mata membelek satu persatu barang yang mungkin sesuai untuk dijadikan buah tangan dan diberikan kepada si isteri. Namun semuanya difikirkan tidak sesuai dan mungkin si isteri tidak menyukainya. Teringat beberapa minggu kebelakangan si isteri ada memberitahu tentang hajatnya untuk memiliki sebuah oven elektrik.
Bahagian Alat-alat Elektrik
"Ya itu pilihan yang tepat" bisik hati kecilnya. Lalu langkah di atur ke bahagian alat-alat elektrik untuk meninjau oven yang mungkin sesuai untuk si isteri. Sampai sahaja dia di bahagian tersebut memang terdapat beraneka pilihan oven sedia untuk dipilih. Hati lelakinya berbunga gembira. Sekurang-kurangnya dapatlah dia membahagiakan hati isterinya pada kali ini. Harganya pon tidaklah semahal mana dan dia berkeupayaan untuk merealisasikan hasrat isterinya itu. Namun setelah dicongak-congak ada masalah besar untuk membawa balik oven tersebut yang agak besar saiznya sementelah pula dia hanya bermotosikal pada hari itu. Teksi pula agak sukar untuk didapati pada waktu tersebut. "Hmm macamana ni?" dia bertanya sendiri. Mata melihat jam ditangan. "Oh telah masuk waktu Maghrib" bisiknya. Akhirnya ditunda sahaja hajatnya dulu.
Seruan Ilahi
Dia bergegas ke surau berhampiran di dalam pasaraya tersebut bagi menyahut seruan yang lebih penting dari segalanya di dunia ini. "Solat wajib ditunaikan dahulu" getusnya sambil melawan godaan syaitan dan nafsu yang masih menyuruh dia meneruskan pencarian. "Tunaikan dulu yang lebih penting" hatinya bertegas. "InsyaAllah semuanya akan lancar nanti" bisik hatinya lagi meyakinkan diri.
Kereta rosak
Selang beberapa hari sebelum itu, si suami telah diuji bilamana kereta yang menjadi pengangkutan penting kepadanya bilamana diperlukan seperti pada waktu-waktu hujan atau perlu membawa barang-barang yang banyak atau besar telah mengalami kerosakan major dan sekarang masih tersadai dibengkel. Maklum sahaja kereta tua. Hanya itu yang dia mampu. Itu pon sudah besar rahmat. Memperbaikinya memerlukan masa yang agak panjang dan tentu sahaja kosnya juga tinggi. Sebuah kereta lagi yang agak baru digunakan oleh isterinya berulang-alik ke tempat kerja dan menguruskan anak-anak. Anak-anak iaitu 2 orang puteri diuruskan kebanyakannya oleh isteri sementelah dia bekerja di lokasi yang agak jauh dari rumah dan tempat asuhan anak-anak sejak hampir dua tahun lepas. Disebabkan itulah juga dia tidak punya kereta untuk membawa pulang oven elektrik yang hajatnya ingin diberikan kepada isterinya.
Pencarian diteruskan
Selesai solat Maghrib dan berdoa, si suami meneruskan pencarian. Kali ini dia memilih untuk cuba mencari di deretan kedai-kedai di luar pasaraya pula. "Mungkin ada kedai cenderahati di luar" fikirnya memikirkan alternatif. Dia berjalan dari satu blok ke satu blok kedai namun hampa. Masih tidak ketemu apa yang difikirkan sesuai dan bakal membuat isterinya suka. Akhirnya, dia terlihat sebuah kedai kek. "Oh Inilah kedai kek yang pernah dia kunjungi semasa masih bujang dahulu" fikirannya dapat mengingati sesuatu. Sudah agak lama dia tidak berkunjung dan meneroka deretan kedai-kedai di sini. Ini kerana telah hampir 2 tahun dia berpindah pejabat yang agak jauh. Sudah banyak perubahan di sana-sini. Kedai-kedai yang dulunya ada telah berganti dengan pengusaha baru. Namun begitu masih banyak juga kedai-kedai lama yang masih seperti dulu termasuk kedai kek tersebut.
"Beli kek lah" hatinya memutuskan. Tanpa berlengah dia memasuki kedai kek kerana tidak lama lagi waktu Isya' akan menyapa. Lagipon teringat puteri sulongnya yang telah memasuki usia enam tahun sangat menggemari kek. "Dua dalam satu" hatinya berbunga. Setelah hiasan ringkas kek disiapkan oleh pekerja kedai kek tersebut dan kek dimasukkan ke dalam kotaknya sebelum dibungkus dengan beg plastik, dia membawa kek ke luar dari kedai tersebut. "Alamak macamana pula nak bawa kek ini dengan menaiki motosikal sedangkan motosikal tidak punya raga". Kotak barang di belakang pula kecil dan sarat dengan jaket hujan dan selipar kecemasan yang biasanya digunakan menggantikan kasut bagi mengelakkan kasut pejabatnya basah dan dibanjiri air. "Hmm tawakal sajalah. Nanti fikirkan sesuatu" pujuk hatinya berserah.
bersambung..
p/s: cerpen ini didikasi untuk isteri tercinta. Selamat Hari Ulangtahun kelahiran - 19-05-2009
No comments:
Post a Comment