Tuesday, May 26, 2009

Anak-anak degil atau ibu bapa yang degil?


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Bismillahirrahmanirrahim..

Saya mulakan dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang..sesungguhnya saya terlalu kerdil untuk memulakan tulisan ini. Mohon supaya Allah memberi idea yang baik dan bernas serta tidak terpesong sepanjang penulisan ini kerana saya bukanlah seorang ustaz atau seorang pakar keibubapaan yang lebih layak menghuraikan isu ini. Hasrat di hati sekadar ingin berkongsi dan mengalu-alukan sebarang pandangan di ruangan komen agar dapat diperbaiki segala kelemahan atau kesilapan. Jika ianya baik moga Allah menjadikannya bermanfaat untuk kita semua.

Saya fikir ramai daripada kita akan bersetuju jika saya katakan anak-anak yang degil sememangnya mencabar kesabaran kita sebagai ibu atau bapa. Saya sendiri dan isteri mengalaminya. Perkara diminta, tidak dilakukan tetapi bila tidak diminta, tau-tau saja telah pon selesai dan terlambat untuk ditegah. Perkara seperti ini ditambah dengan kepenatan kita bekerja (urusan mencari rezeki) seharian memang cepat saja membuatkan kita melenting. Persoalannya apakah faktor yang menyebabkan anak-anak ini menjadi degil? Siapa yang menyebabkan anak-anak menjadi degil? Apakah cara terbaik untuk menanganinya? Patutkah mereka dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kedegilan mereka?

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana kita dimurahkan rezeki dengan mendapat anak-anak. Ada ramai pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin tetapi masih tidak beroleh anak. Mereka terlalu mengimpikan biarpon seorang sahaja anak buat menyeri rumah tangga mereka dan sebagai lambang kasih sayang suami dan isteri kerana Allah. Maha suci Allah Pencipta perasaan kasih, sayang dan cinta. Sedangkan kita yang telah beroleh anak-anak ini tidak pula tahan dengan karenah dan kedegilan anak-anak. Marilah kita sama-sama berdoa agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan dipermudahkan segala urusan mendidik mereka.

Didikan

Melalui pembacaan saya, Rasulullah SAW mengajarkan kita supaya mendidik anak-anak selepas kelahiran dengan membahagikan atau mengkategorikannya kepada 4 tingkatan:

Pertama: umur 1-7 tahun. Pada masa ini, Rasulullah menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi clan menyayangi anak dengan kasih yang tidak bertepi dan sayang yang tidak berbatas. Biarkan anak-anak pada masa ini bermandikan kasih sayang.

Kedua: umur 7-14 tahun. Pada masa ini Rasulullah memerintahkan kita untuk mula menanamkan disiplin kepada anak-anak dengan mengajar dan memerintahkan mereka untuk mengerjakan solat.

Bahkan apabila umurnya sudah 10 tahun, seorang ayah boleh memukul anaknya apabila enggan mengerjakan solat.

Berdasarkan kajian pakar-pakar ilmu jiwa anak, sememangnyalah pada umur 7- 14 tahun ini masa terbaik untuk menanamkan disiplin dan pembentukan sahsiah seorang anak.

Pada saat ini pula seorang ayah akan menjadikan anak itu seorang Muslim atau Yahudi, Nasrani dan Majusi seperti yang dikatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya bahawa setiap anak yang lahir dalam keadaan suci. Maka, ayah dan ibunyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Ketiga: umur 14-21 tahun. Pada masa ini, orang tua sudah menukar penanaman disiplin dengan cara yang agak keras kepada cara rasional.

Orang tua sudah semestinya mendidik anak dengan cara menjadikannya sahabat dalam berdiskusi, mengajaknya ikut dalam membincangkan masalah keluarga dan diberikan satu-satu tanggungjawab dalam hal-hal tertentu di rumah.

Hal ini penting agar anak berasa dirinya punya tanggungjawab dan telah dewasa sehingga sudah mesti mengambil berat hal-hal dalam keluarga.

Keempat: umur lebih 21 tahun. Pada masa ini, orang tua sudah boleh melepaskan anaknya untuk belajar menempuh hidup akan tetapi tetap melihat perkembangannya dan memberikan nasihat serta peringatan-peringatan apabila anak tersalah atau terlupa.

Persoalan lagi, berapa ramaikah di antara kita yang mengamalkan kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah ini? Malah mungkin boleh dikatakan kebanyakan daripada kita langsung tidak mengamalkannya.

Ini menyebabkan ada ibu bapa yang terlebih memberi kasih sayang kepada anak-anak hingga anak-anak berumur 15 atau 18 tahun barulah masing-masing sibuk hendak mengajarkan anak-anak solat. Anak-anak yang telah terlalu dimanjakan ini bukan sahaja enggan untuk bersolat malah akan timbul perasaan marah kepada kedua ibubapanya apabila dipaksa sedangkan sebagaimana yang kita tahu hakikat solat boleh menghindarkan mereka dari perbuatan keji dan mungkar.

Ada sesetengah ibu bapa pula terlalu keras mengajarkan anak-anak dengan penuh suasana disiplin dengan membuta-tuli tanpa mengira umur dan perkembangan kedewasaan anak sehingga menyebabkan anak-anak rasa dizalimi oleh ibu bapanya dari segi hak-hak tertentu.

Oleh hal yang seperti ini, anak-anak akan rasa tertekan. Hidupnya di rumah mungkin dirasakan seperti neraka. Panas semuanya. Mereka mula bertindak menjauhkan diri dari ibu bapa dan akhirnya terdorong untuk mencari ’ketenangan’ di luar.

Minda anak dan minda kita

Pernahkah kita berfikir bahawa minda anak dan minda kita mungkin berbeza. Mungkin terdapat jurang yang begitu luas antara kita sebagai ibu bapa dan anak-anak. Ini menyebabkan kita sukar berkomunikasi dengan mereka. Komunikasi yang baik seharusnya dengan meletakkan diri kita di tempat mereka agar kita lebih memahami. Jadi, kita perlu gunakan bahasa yang mudah untuk mereka fahami. Penerangan yang jelas tentang sebab dan akibat setiap arahan / larangan dan sebaiknya hingga sampai kepada pemahaman kepada psikologi anak-anak.

Saya percaya ada antara anak kita pernah meminta untuk dibelikan buku latihan untuk kegunaan sekolah. Biasanya kita akan tanya anak tersebut seperti ini:

”Buku yang kita dah beli dulu dah penuh ke?”.

Anak menjawab: ”Cikgu suruh beli jugak”

Kita: ”Ala kenapa dengan cikgu ni? Buku yang dulu tu kan ada lagi?”

Anak: ”Nanti cikgu marah”

Kita: ”Ala takpela nanti ayah bincang dengan cikgu la. Ayah ada kerja sekarang ni” Sambil meneruskan kerja yang sedang dibuat.

Si anak berlalu sambil menundukkan kepala.

Daripada dialog di atas, isu yang diketengahkan oleh anak-anak ini seringkali kita anggap terlalu kecil untuk dirisaukan. Sedangkan bagi mereka mungkin ianya terlalu besar dan berat. Mereka mungkin takutkan cikgu yang garang, takut dan malu ditertawakan oleh kawan-kawan, merasa rendah diri dan terhina bila didenda dan yang paling membimbangkan ialah mereka akhirnya membuat kesimpulan bahawa ibu bapa tidak mempedulikan mereka oleh hal yang remeh temeh ini bagi kita.

Sikap kita hari ini

Sabda Rasullullah SAW, ” "Didiklah anak kamu 100 tahun sebelum dia dilahirkan." Hadis ini amat singkat tetapi maksudnya mendalam kerana ungkapan 'seratus tahun sebelum lahir' ini menggambarkan persediaan yang jauh lebih awal sebelum anak itu dilahirkan oleh ibunya ke dunia ini.

Pakar kesihatan dan ahli jiwa berpendapat bahawa keadaan ibu bapanya mempengaruhi sifat serta perilaku anak-anak yang akan dilahirkan. Ertinya, perbuatan dan sikap ibu bapanya sedikit sebanyak mempengaruhi perkembangan fizikal dan mental bayi yang akan dilahirkan.

Di antara pendapat pakar itu dengan hadis Rasulullah s.a.w. di atas sebenarnya memiliki kesesuaian dan sealiran. Ini kerana makna hakikat mendidik anak `seratus tahun sebelum lahir' dalam hadis Rasul adalah dengan cara mendidik diri setiap dari kita terlebih dahulu dengan melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan dan meninggalkan semua bentuk maksiat.

Mungkin inilah yang dikatakan dalam satu syair orang Arab: "Kaifama takun yakun abna'aka" yang bermakna bagaimana kamu hari ini, begitu pulalah anak-anakmu pada masa hadapan.

Seorang ayah dan ibu kadang-kadang lupa dan leka dengan menganggap perbuatan dan sikap mereka ketika ini tidak memiliki hubung kait dengan masa depan anak-anak mereka.

Padahal setiap orang tua sebenarnya bukan hanya akan mewariskan harta kepada anak mereka tetapi juga akan mewariskan sikap dan pandangan hidup.

Jadi, sudahkah kita memberi yang terbaik untuk anak-anak kita? Jika belum, anak-anak kah yang degil atau ibu bapa yang degil? Tepuk dada tanya selera!

Allahhu’alam.


No comments:

Post a Comment