Saturday, September 12, 2009
Munajat...
keinsafan... pengharapan...
Tuhan...kusembahkan pengorbanan
Membuktikan kecintaan
Bisikkanku untukMu
Munajatku mohon restu
Semoga cintaku bukan palsu
Pada desiran penuh syahdu
Gelombang lautan rinduku
Munajatku dalam syahdu
Merindui maghfirahMu
MardhiaMu dalam restu
Harapan tulusnya hatiku
Kurindukan pimpunanMu
KeagunganMu dalam doaku
Kebesaran pada kudratMu
Ia membina rohaniku
Tuhan... kubisikkan kerinduan
Keinsafan... Pengharapan...
Tuhan...kusembahkan pengorbanan
Membuktikan kecintaan
Ujian kepahitan di dalam kehidupan
Padanya ada kamanisan
Ketenangan dan kebahagian
Bayangan syurga idaman
Munajatku dalam syahdu
Merindui maghfirahMu
MardhiaMu dalam restu
Harapan tulusnya hatiku
Kurindukan pimpinanMu
KeagunganMu dalam doaku
Kebesaran pada kudratMu
Ia membina rohaniku
Tuhan... kubisikkan kerinduan
keinsafan... pengharapan...
Tuhan...kusembahkan pengorbanan
Membuktikan kecintaan
[Nada Murni]
Tuesday, August 11, 2009
Sangka-sangka..
Ada sangkaan baik...Ada sangkaan buruk...
Orang beribadah disangka riak
Orang yang relaks disangka malas
Orang yang pakai baju baru disangka menunjuk
Orang yang pakai baju buruk disangka zuhud (hina)
Orang yang makan banyak disangka pelahap
Orang yang makan sikit disangka diet
Orang baik disangka buruk
Orang buruk disangka baik
Orang senyum disangka mengejek
Orang masam disangka merajuk
Orang bermuzakarah disangka mengumpat
Orang diam disangka menyendiri
Orang menawan disangka pakai susuk
Orang nampak ceria disangka membela
mana tahu yang diam itu kerana berzikir kepada Allah
mana tahu yang senyum itu kerana bersedekah
mana tahu yang masam itu kerana mengenangkan dosa
mana tahu yang menawan itu kerana bersih hati dan mindanya
mana tahu yang ceria itu kerana cergas cerdasnya
jauhi sikap suka bersangka-sangka kerana ia bakal memusnahkan ukhwah
seperti musnahnya kayu dimakan api..
Satu benda yang kita lihat, macam-macam kesimpulan yang boleh kita buat..
semuanya bergantung kepada bagaimana kita melihatnya...
Wednesday, June 10, 2009
Doa II
Amin ya Rabbal alamin.. Rabbana atina fiddunya hasanah wafil akhirati hasanah waqina a'za bannaar..wasallallah hu a'la saiyidina Muhammadin wa a'la alihi wasohbihi wa barak wasallam. walhamdulillah hi Rabbil a'lamin.
Thursday, June 4, 2009
Sinopsis novel "Di atas Sajadah Cinta"
Minggu lepas semasa dalam perjalanan balik dari trip ke Kangar, kami singgah di hentian R&R Tapah Lebuhraya Utara-Selatan untuk menghilangkan lelah dan mengantuk memandu dari Bagan Ajam, Pulau Pinang. Sempat membeli 3 buah buku di Toko Buku R&R tersebut. Antaranya adalah sebuah novel yang begitu menarik tajuknya. Namun begitu belum berkesempatan untuk membacanya. Penulisnya Habiburrahman El-Shirazy, seorang novelis sarjana Al-Azhar University Cairo.
Sinopsisnya seperti berikut:
"Ilahi, kasihanilah hambaMu yang lemah ini. Engkau Maha Tahu atas apa yang menimpa diriku. Aku tak ingin kehilangan cintaMu. Namun Engkau juga tahu, hatiku ini tidak mampu mengusir pesona kecantikan seorang makhluk yang Engkau ciptakan. Saat ini hamba sangat lemah berhadapan dengan daya tarikan wajah dan suaranya, ya Ilahi berikanlah padaku cawan kesejukan untuk meletakkan embun-embun cinta yang menitis-nitis dalam dinding hatiku ini. Ilahi, tuntunlah langkahku pada garis takdir yang paling Engkau redhai. Aku serahkan hidup matiku untukMu." Esak zahid merayu kepada Tuhan Sang Pencipta hati, cinta dan segala keindahan semesta.
Zahid terus meratap hiba. Hatinya yang dipenuhi gelora cinta terus dipaksa untuk menepis noda-noda nafsu. Anehnya semakin dia meratap embun-embun cinta itu semakin deras air matanya mengalir. Rasa cintanya pada Tuhan. Rasa takut akan azabNya. Rasa cinta dan rindunya pada Afirah dan rasa tidak ingin kehilangannya. Semua bercampur dan mengalir sedemikian hebat dalam relung hatinya. Dalam puncak munajatnya....
Buku lain yang di beli adalah:
dan untuk isteri..
tulisan Jaafar As-Siddiq. (Sedang dalam proses bacaan)
Moga bermanfaat.
Ujian Allah..kenapa putus asa?
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan menyatakan,
“Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan sunguh, Kami telah menguji
Orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti megetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta. (Al-Ankabut 2-3)
Q: Kenapa aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan?
“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu.
Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padah itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”. (Al-Baqarah 216)
Q: Kenapa ujian seberat ini?
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya... (Al-Baqarah 286)
Q: Rasa frust?
“Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman”. (Al-Imran 139)
Q: Bagaimana harus aku menghadapinya?
“Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk” (Al-Baqarah 45)
Q: Apa yang aku dapat daripada semua ini?
“Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah....”
(At-Taubah 111)
Q: Kepada siapa aku berharap?
“Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawkal, dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arasy (singgahsana) yang agung” (At-Taubah 129)
Q: Aku tak dapat tahan..
“....dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah, hanyalah orang-orang yang kafir.” (Yusuf 87)
Hadiah yang tak ternilai..
Hadiah atau pemberian ini mungkin datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Hadiah mungkin berupa semburan wangian berjenama, alat-alat elektrik, gajet terkini, barang-barang kemas seperti emas, tiket dan penginapan bagi percutian di luar negara serta banyak lagi. Jika dihalusi semua bentuk hadiah yang disebutkan itu semuanya mempunyai nilai yang mungkin boleh mencecah ribuan ringgit harganya. Tentunya si penerima hadiah atau pemberian ini amat teruja menerimanya. Bertambah eratlah dan bertambah kasihlah kita kepada si pemberi hadiah kerana kebaikannya.
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia, kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang (ternakan) dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang terbaik." (Al Imran:14)
Namun, ada juga yang memilih untuk memberi hadiah atau pemberian ini berupa bahan-bahan berkaitan dengan kerohanian atau lebih tepat lagi berkaitan dengan agama seperti bahan bacaan berkaitan Islam, tikar sejadah, biji tasbih, naskhah Al-Quranul Qarim, cakera padat ceramah-ceramah agama atau nasyid, kain telekung dan sebagainya. Apa yang menyedihkan adalah bentuk hadiah seperti ini seperti tidak disenangi sipenerima hadiah. Terima pon sekadar syarat atau menjaga hati. Terkadang riak mukanya terlihat seolah tidak senang hingga tak terucapkan perkataan terima kasih dari bibirnya. Sedang bila dia menerima hadiah barang kemas bernilai ribuan ringgit sebagai contoh dari suaminya, masyaAllah berulang kali ucapan terima kasih dilafaz tanpa sedar dek kerana terlalu gembiranya. Malah diberikan lagi bonus ciuman dan pelukan tanda terima kasih tak terhingga buat suami yang telah berbelanja besar membelikan hadiah itu. Betapa seolah nilai kasih suaminya sama nilai dengan barang-barang atau hadiah bernilai ribuan atau mungkin bagi yang lebih mampu nilainya mungkin mencecah jutaan ringgit.
Bagi yang memberi hadiah atau pemberian yang berkaitan kerohanian dan agama pula seolah nilai kasihnya tidak pon sebanyak mana. Terkadang seperti dipersoal pula sama ada benar-benarkah sayang atau sebaliknya. Amat berbeza sekali. Hendak dikatakan tak suka sebab harganya murah rasanya tidak juga. Adakalanya nilai harganya seperti contoh pakej umrah atau pakej menghadiri seminar berkaitan agama juga mencecah ribuan ringgit dan setanding dengan hadiah yang lainnya. Namun sipenerima tetap berfikir dua kali malah mungkin lebih sama ada mahu menerima atau sebaliknya. Sedangkan jika hadiah tersebut berupa kebendaan atau bersifat keduniaan, kita tanpa berlengah menerima dan tidak sabar-sabar mahu melakukannya. Tidakkah kita terfikir bahawa mereka yang seperti ini sayangnya lebih dalam kepada kita kerana kasihnya melampaui kasih di dunia malah sampai ke akhirat. Sedarkah kita bahawa ingatannya kepada kita sehingga mahu bersama-sama kita berada di syurga Allah kelak? Dia tidak mahu kita ditinggalkan terus alpa dengan kesenangan dunia yang sementara. Dia mahu dirinya dan juga kita yang selalu diingatinya bersama-sama memperbaiki diri, mencari redha Allah dan menuju taman-taman indah di Syurga sepertimana janji-janji Allah. Itulah hadiah yang tak ternilai harganya.
Tetapi berapa ramaikah antara kita yang menghargainya? Marilah kita sama-sama sedar dan sayangilah orang yang menyayangi kita sampai ke akhirat sana..InsyaAllah.
" Dan ketahuilah, sesungguhnya harta benda dan anak-anak kamu hanyalah fitnah (ujian) dan sesungguhnya di sisinya Allah itu pahala yang besar." (Al Anfal 8:28)
"Katakanlah: jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu.." (Al Imran:31)
Wednesday, June 3, 2009
Tuesday, May 26, 2009
Anak-anak degil atau ibu bapa yang degil?
Bismillahirrahmanirrahim..
Saya mulakan dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang..sesungguhnya saya terlalu kerdil untuk memulakan tulisan ini. Mohon supaya Allah memberi idea yang baik dan bernas serta tidak terpesong sepanjang penulisan ini kerana saya bukanlah seorang ustaz atau seorang pakar keibubapaan yang lebih layak menghuraikan isu ini. Hasrat di hati sekadar ingin berkongsi dan mengalu-alukan sebarang pandangan di ruangan komen agar dapat diperbaiki segala kelemahan atau kesilapan. Jika ianya baik moga Allah menjadikannya bermanfaat untuk kita semua.
Saya fikir ramai daripada kita akan bersetuju jika saya katakan anak-anak yang degil sememangnya mencabar kesabaran kita sebagai ibu atau bapa. Saya sendiri dan isteri mengalaminya. Perkara diminta, tidak dilakukan tetapi bila tidak diminta, tau-tau saja telah pon selesai dan terlambat untuk ditegah. Perkara seperti ini ditambah dengan kepenatan kita bekerja (urusan mencari rezeki) seharian memang cepat saja membuatkan kita melenting. Persoalannya apakah faktor yang menyebabkan anak-anak ini menjadi degil? Siapa yang menyebabkan anak-anak menjadi degil? Apakah cara terbaik untuk menanganinya? Patutkah mereka dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas kedegilan mereka?
Berdasarkan kajian pakar-pakar ilmu jiwa anak, sememangnyalah pada umur 7- 14 tahun ini masa terbaik untuk menanamkan disiplin dan pembentukan sahsiah seorang anak.
Friday, May 22, 2009
Hari Ulangtahun..
Buntu
Seoarang suami bergegas pulang dari pejabatnya hari ini. Tidak seperti hari lain langkahnya diatur lebih laju dari kebiasaan. Semuanya kerana memikirkan bahawa esok merupakan hari ulangtahun kelahiran isterinya yang dicintai. Dia telah merancang untuk singgah di sebuah pasaraya bagi membeli sesuatu yang akan diberikan kepada isterinya berupa hibah tanda ingatannya kepada isteri.
Tapi fikirannya masih buntu memikirkan apakah barang yang patut dibelinya. Sempat juga sebelum keluar dari pejabat tadi dia melakukan carian barang yang sesuai di internet. Pastinya di zaman dunia tanpa sempadan ini semua maklumat boleh dicapai di hujung jari sahaja. Namun hasil di enjin carian tidak banyak membantu. Ketika diajukan soalan kepada isterinya tentang apa yang dihajatinya pada tahun ini. Isterinya hanya memberikan kata kunci umum sahaja iaitu dia sukakan barang yang tidak terduga dan bersifat romantis. "Ah terlalu sukar untuk ditafsir oleh naluri lelakinya" fikirnya. Namun, untuk tidak menghampakan isterinya dan bimbang dikatakan tidak mengingati tarikh ulangtahun kelahirannya yang mungkin mengundang rajuk yang panjang si suami meneruskan langkah menaiki tingkat demi tingkat dalam pasaraya di satu tempat dalam pertengahan jalan ke rumahnya sambil mata membelek satu persatu barang yang mungkin sesuai untuk dijadikan buah tangan dan diberikan kepada si isteri. Namun semuanya difikirkan tidak sesuai dan mungkin si isteri tidak menyukainya. Teringat beberapa minggu kebelakangan si isteri ada memberitahu tentang hajatnya untuk memiliki sebuah oven elektrik.
Bahagian Alat-alat Elektrik
"Ya itu pilihan yang tepat" bisik hati kecilnya. Lalu langkah di atur ke bahagian alat-alat elektrik untuk meninjau oven yang mungkin sesuai untuk si isteri. Sampai sahaja dia di bahagian tersebut memang terdapat beraneka pilihan oven sedia untuk dipilih. Hati lelakinya berbunga gembira. Sekurang-kurangnya dapatlah dia membahagiakan hati isterinya pada kali ini. Harganya pon tidaklah semahal mana dan dia berkeupayaan untuk merealisasikan hasrat isterinya itu. Namun setelah dicongak-congak ada masalah besar untuk membawa balik oven tersebut yang agak besar saiznya sementelah pula dia hanya bermotosikal pada hari itu. Teksi pula agak sukar untuk didapati pada waktu tersebut. "Hmm macamana ni?" dia bertanya sendiri. Mata melihat jam ditangan. "Oh telah masuk waktu Maghrib" bisiknya. Akhirnya ditunda sahaja hajatnya dulu.
Seruan Ilahi
Dia bergegas ke surau berhampiran di dalam pasaraya tersebut bagi menyahut seruan yang lebih penting dari segalanya di dunia ini. "Solat wajib ditunaikan dahulu" getusnya sambil melawan godaan syaitan dan nafsu yang masih menyuruh dia meneruskan pencarian. "Tunaikan dulu yang lebih penting" hatinya bertegas. "InsyaAllah semuanya akan lancar nanti" bisik hatinya lagi meyakinkan diri.
Kereta rosak
Selang beberapa hari sebelum itu, si suami telah diuji bilamana kereta yang menjadi pengangkutan penting kepadanya bilamana diperlukan seperti pada waktu-waktu hujan atau perlu membawa barang-barang yang banyak atau besar telah mengalami kerosakan major dan sekarang masih tersadai dibengkel. Maklum sahaja kereta tua. Hanya itu yang dia mampu. Itu pon sudah besar rahmat. Memperbaikinya memerlukan masa yang agak panjang dan tentu sahaja kosnya juga tinggi. Sebuah kereta lagi yang agak baru digunakan oleh isterinya berulang-alik ke tempat kerja dan menguruskan anak-anak. Anak-anak iaitu 2 orang puteri diuruskan kebanyakannya oleh isteri sementelah dia bekerja di lokasi yang agak jauh dari rumah dan tempat asuhan anak-anak sejak hampir dua tahun lepas. Disebabkan itulah juga dia tidak punya kereta untuk membawa pulang oven elektrik yang hajatnya ingin diberikan kepada isterinya.
Pencarian diteruskan
Selesai solat Maghrib dan berdoa, si suami meneruskan pencarian. Kali ini dia memilih untuk cuba mencari di deretan kedai-kedai di luar pasaraya pula. "Mungkin ada kedai cenderahati di luar" fikirnya memikirkan alternatif. Dia berjalan dari satu blok ke satu blok kedai namun hampa. Masih tidak ketemu apa yang difikirkan sesuai dan bakal membuat isterinya suka. Akhirnya, dia terlihat sebuah kedai kek. "Oh Inilah kedai kek yang pernah dia kunjungi semasa masih bujang dahulu" fikirannya dapat mengingati sesuatu. Sudah agak lama dia tidak berkunjung dan meneroka deretan kedai-kedai di sini. Ini kerana telah hampir 2 tahun dia berpindah pejabat yang agak jauh. Sudah banyak perubahan di sana-sini. Kedai-kedai yang dulunya ada telah berganti dengan pengusaha baru. Namun begitu masih banyak juga kedai-kedai lama yang masih seperti dulu termasuk kedai kek tersebut.
"Beli kek lah" hatinya memutuskan. Tanpa berlengah dia memasuki kedai kek kerana tidak lama lagi waktu Isya' akan menyapa. Lagipon teringat puteri sulongnya yang telah memasuki usia enam tahun sangat menggemari kek. "Dua dalam satu" hatinya berbunga. Setelah hiasan ringkas kek disiapkan oleh pekerja kedai kek tersebut dan kek dimasukkan ke dalam kotaknya sebelum dibungkus dengan beg plastik, dia membawa kek ke luar dari kedai tersebut. "Alamak macamana pula nak bawa kek ini dengan menaiki motosikal sedangkan motosikal tidak punya raga". Kotak barang di belakang pula kecil dan sarat dengan jaket hujan dan selipar kecemasan yang biasanya digunakan menggantikan kasut bagi mengelakkan kasut pejabatnya basah dan dibanjiri air. "Hmm tawakal sajalah. Nanti fikirkan sesuatu" pujuk hatinya berserah.
bersambung..
p/s: cerpen ini didikasi untuk isteri tercinta. Selamat Hari Ulangtahun kelahiran - 19-05-2009
Wednesday, May 20, 2009
Ayat - ayat cinta..
Tersentuh hati lelaki ini bila membaca artikel nukilan ummuhusna99. Jadi, saya pastekan artikel beliau untuk dikongsikan.
QURRATU'AYUN AYAT CINTA KAMI
Mata saya berkaca menatap ayat indah itu. Semakin lama saya menghayatinya, sebak kian melanda jiwa. Saya menyeka air mata dengan hujung telekung bercorak bunga warna coklat muda, hadiah dari suami tercinta. Belum pernah jiwa saya tersentuh sebegitu walau telah saban kali mengulangi ayat yang sama. Namun impaknya kali ini amat berbeza. Ayat yang sangat mudah dilafaz, tapi amat payah untuk direalisasikan dalam kehidupan moden hari ini. Bukan semudah mengungkap ayat-ayat cinta kala kasih bersemi.
Rasulullah SAW telah banyak kali menegaskan di sepanjang kehidupan Baginda. Antaranya sabda Baginda yang bermaksud :
“ Tidakkah ingin kalian aku khabarkan tentang perkara terbaik dan paling berharga yang boleh dimiliki oleh seseorang? Iaitulah, isteri yang solehah, yang cirinya adalah menggembirakankan apabila memandang kepadanya. Jika disuruh, dia mentaatinya, dan bila kamu tiada, dia memelihara ( rahsia dan hartamu ) dengan sebaiknya.” ( Riwayat Abu Daud dan al Hakim )
WANITA SEBAGAI ISTERI PEMBANGUN JIWA
Sudah lama saya mendengar dan membaca kisah Sayyidatina Khadijah, Aisyah, Fatimah, Ummu Sulaim, Ummu Salamah dan lain-lainnya, tapi baru kali ini saya benar-benar menghayati apa yang tersirat di sebalik kisah mereka. Terlalu besar peranan seorang isteri untuk menjadi penenang jiwa seorang suami.
“Apa pandangan abang tentang peranan seorang isteri dengan merujuk kisah Sayyidatina Khadijah, Fatimah dan yang lainnya? “ Suatu petang, saya bertanya suami, ingin tahu.
“ Seorang isteri yang berperanan sebagai penyejuk dan penenang hati, bukan sahaja memberi kesan kepada suami, bahkan juga kepada negara, “ suami saya menjawab sambil memandang tepat ke anak mata saya.
“ Mengapa begitu besar kesannya? “ saya bertanya, supaya suami melanjutkan perbincangannya.
“ Jika hati, pemikiran dan sikap suami mampu ditenang oleh isteri dan anak-anak sebagai ‘cahaya mata’ penyejuk jiwa dan raga, maka sudah pasti dia akan menjadi lelaki yang bijak serta tenang dalam mengambil sebarang keputusan dalam kerjayanya. Kebijaksanaan itu akan turut dimanfaatkan oleh masyarakat dan dunia, ” ulas suami sambil memandang jauh ke luar jendela.
“ Seterusnya hasil dari ketenangan di rumah juga, suami akan melihat dunia sebagai amanah yang dÃgalas atas nama Allah Azza wa Jalla, dan bukan sebagai habuan kepada nafsu yang bermaharajalela. Dunia baginya merupakan tempat untuk membalas kebaikan keluarga, lalu dia menjadi seorang lelaki yang baik dan soleh. Tidakkah beruntung seluruh warga alam andai semua lelaki bersikap begini? ” ujarnya lagi.
Saya mengangguk tanda sangat bersetuju dengan pandangannya itu. Memang benar, telah banyak kita melihat ramai lelaki yang nafsunya tidak selesai di rumah, akhirnya merosak anak gadis dan isteri orang di luar rumah. Mereka juga menjadi pelanggan setia, memeriahkan bisnes pelacuran di pinggir ibu kota. Mencetus caca marba dalam masyarakat serta membawa virus dosa dan akhirnya apabila kejahatan melata maka akan semakin kurang redha Allah terhadap masyarakat. Bala mula menimpa akibat dari nafsu lelaki yang tidak dirawat sebaiknya oleh isteri di rumah.
Juga, telah acap kali kita mendengar berapa ramai lelaki yang minda dan hatinya kusut, tidak tenang lantaran isteri yang gagal menyuntik kedamaian. Kesannya, suami yang gersang jiwanya ini akan bertukar ganas umpama serigala rimba. Segala keputusan diambil tanpa rujukan agama, pertimbangannya menjadi tempang akibat tiada damai di rumah. Sebagaimana seorang hakim membuat keputusan dalam keadaan diri resah gelisah dan marah, tentu saja hukuman yang salah dan tidak tepat akan terlaksana dan ini tidak dibenarkan oleh Nabi sa.w.
CIRI-CIRI WANITA PENENANG JIWA
Tidak dinafikan hari ini telah mula bangkit suara dan laungan sekumpulan wanita pejuang feminis, yang memandang hina kisah-kisah wanita solafussoleh ini. Mereka mendakwa Islam menganjurkan isteri menjadi ‘hamba’ kepada suami. Alangkah malangnya ‘pejuang wanita ‘ seperti ini disebabkan mereka berfikir menggunakan aqal bersalut nafsu dan bukan dengan mata hati bersuluh cahaya iman.
Mereka gagal melihat apa yang tersirat, bahawa dunia ini binasa disebabkan oleh tangan-tangan manusia sebagaimana yang pernah ditegaskan melaui firmanNya. Jika dulu, hanya tangan-tangan lelaki yang menjadi golongan majoriti membuat keputusan kononnya untuk pembangunan dunia, namun kini tangan-tangan wanita telah terheret sama menyumbang kepada kerosakan apabila mereka mula berjawatan dan turut sama membuat keputusan.
Bagi saya tiada lain yang lebih beerti selain kembali merujuk kepada srikandi Islam di zaman silam. Mereka merupakan contoh tauladan buat seorang isteri yang layak menjadi ‘qurratu’ayun’ seorang suami. Mereka memiliki segala yang diidamkan, antaranya :
1 ) Isteri yang cerdik. Kecerdikan seorang isteri bukan diukur dari segulung dua ijazah yang diraih dari universiti atau kolej-kolej tinggi. Akan tetapi, kecerdikannya terserlah pada sifat mengenali dan memahami keperluan suami semasa suka mahu pun duka. Dia pandai mengambil hati suami dengan perilaku yang manja dan lemah lembut. Tutur katanya halus dan berhati-hati agar suami tidak terasa hati. Gurauannya bersahaja sangat menyenangkan jiwa. Dia juga bijak mengangkat nilai suami pada pandangan orang lain dan sentiasa bersedia untuk diajak berbual apa sahaja tanpa rasa jemu dan perasaan layu.
Isteri yang pandai membaca riak rasa seorang suami sama ada gembira atau sebaliknya, menjadi penguat semangatnya untuk melakukan yang lebih baik pada esok hari. Kerana itu, ada pepatah mengatakan, di belakang seorang lelaki berjaya, ada seorang wanita bernama isteri yang sentiasa mendorong dan meniup semangat juangnya.
2 ) Sentiasa mendahulukan suami dari yang lain. Seorang isteri yang solehah dinilai dari ketaatannya kepada suami dalam apa jua perkara selagi ia tidak melangkaui batasan agama. Kesetiaan kepada suami didahulukan dari orang lain termasuk ibu dan bapa. Keizinan suami sentiasa diminta agar redhanya selalu mengiringi, sehinggakan untuk berpuasa sunat juga isteri perlu meminta izin suami sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud :
"Tidak halal bagi seorang isteri yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk berpuasa , sedangkan suaminya ada di sampingnya kecuali dengan keizinan suaminya itu."(Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan Ahmad Ibn Hanbal)
3 ) Mengurus rumahtangga. Tanggungjawab seorang isteri yang tidak kurang pentingnya ialah untuk menjadikan tempat tinggalnya sebagai tempat untuk berehat serta menghasilkan persekitaran yang menyenangkan. Anak-anak dijaga makan dan pakai, begitu juga suami yang sentiasa dipenuhi keperluan dirinya. Rumah yang bersih, damai dan tenang akan menggembirakan penghuni yang berlindung di dalamnya. Jiwa yang tenang pasti akan melahirkan individu yang ceria gembira. Walaubagaimanapun, untuk menghias rumah, isteri perlulah mengikut kemampuan keperluan keluarga. Isteri harus pandai menghargai susah payah suami mencari nafkah buat perbelanjaan sehari-hari.
Suami mana yang tidak berbunga rasa sebaik menjengah ke dalam rumah, isteri menyambut dengan manja, anak-anak riang gembira dan rumah bersih senang dipandang mata.
4 ) Berhias hanya untuk tatapan mata suami. Isteri yang menyintai suami tidak akan membiarkan kecantikannya dilihat apatah lagi dinikmati oleh orang lain. Mata, bibir , tangan, kaki dan seluruh anggota tubuhnya hanya untuk santapan mata suami yang halal baginya. Oleh kerana itu, pakaian dan penampilannya di hadapan suami sentiasa dijaga. Pelupuk mata, pipi dan bibir yang disolek dengan warna menaikkan seri wajah hanya digunakan di hadapan suaminya. Akan tetapi bila berada di luar rumahtangga, semua itu ditinggalkan. Auratnya ditutup dengan rapi. Tidak juga dia memakai wangi-wangian yang boleh dihidu oleh lelaki lain agar keberkatan dalam rumahtangga tetap terpelihara.
QURRATU’AYUN AYAT CINTA KAMI
Saya kembali menatap sebaris ayat indah itu. Di dalamnya terkandung doa dan harapan. Doa kepada yang Esa serta pengharapan dari hati yang membacanya. Ia bagaikan ayat-ayat cinta yang menghidupkan seluruh jiwa saya untuk terus berbakti kepada anak-anak dan suami, malah melangkaui lebih jauh dari itu, suatu bakti kepada dunia melalui khidmat kasih setia kepada suami. Membantu suami agar tidak menjadi lelaki pembinasa masyarakat tetapi penyelamat dari fasad dunia. Saya membaca dan terus membaca dengan penuh keinsafan dalam jiwa.
“ Wahai Tuhan kami, kurniakan lah kami pasangan hidup dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata ( Qurratu’ayun ) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”
( al Furqan : 74 )
Semoga kita semua berusaha meraih redhaNya sebagai qurratu’ayun dalam hidup seorang suami, amin.
Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
p/s: Untuk ke blog penulis artikel ini sila klik di sini.
Wednesday, May 13, 2009
Meningitis??
Sejak 2 hari yang lalu isteri tercinta, ummu aqhar kerap bercerita mengenai penyakit meningitis. Apabila diajukan soalan-soalan lanjut ummu aqhar tidak pula dapat menerangkannya. Maklumlah beliau bukan doktor dan tentulah pengetahuannya mengenai penyakit ini sangat terbatas dan saya juga bukan doktor yang suka bertanya lebih lanjut untuk mengetahui apa yang mendasari kebimbangan isteri sehingga menyebabkan ummu aqhar bercadang untuk mendapatkan suntikan vaksin untuk kedua puteri kami Nurbatrisyia Aliza dan Nurqaireen Aliza. Ummu aqhar menyarankan saya membaca artikel yang telah disalinkan masuk ke dalam blognya untuk mengetahui serba sedikit maklumat berkaitan penyakit itu dan minta pendapat saya sama ada bersetuju atau tidak sekiranya puteri-puteri kami divaksinkan.
Penyakit Meningokokal
Penyakit meningokokal disebabkan oleh bakteria meningococcus Neisseria meningitides. Penyakit Meningokokal berjangkit secara langsung menerusi titisan rembesan respiratori dari hidung dan tekak orang yang dijangkiti. Penyakit ini kebanyakkannya berlaku di kalangan kanak-kanak berumur bawah 5 tahun. Ia juga kerap berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja. Mereka yang mempunyai tahap imuniti yang rendah dan rapat dengan pesakit, pelancong yang melawat ke kawasan endemik di dunia juga mempunyai risiko yang tinggi.
Tanda dan Gejala
5 %– 10 % adalah pembawa pembawa sihat yang tidak mempunyai gejala. Tanda-tanda dan gejala adalah seperti berikut:
Sakit kepala yang teruk
Loya
Muntah
Sakit tengkuk
Tidak boleh melihat cahaya
Ruam
Lain-lain tanda seperti mengantuk dan kebingungan (drownsiness & confusion)
Komplikasi
Berlaku Kematian:
5 – 15 % kes dengan terapi sempurna
50% tanpa rawatan
20 % di kalangan pesakit yang selamat mengalami masalah saraf termasuk pekak dan lumpuh.
Rawatan
Antibiotik chemoprophylaxis (seperti pencegahan penyakit menggunakan antibiotik) adalah disyorkan kepada kontak rapat sahaja. Vaksinasi selepas jangkitan tidak berkesan.
Pencegahan
Vaksin meningokokal:
Vaksin ini dipanggil Meningococcal Quadrivalent Vaccine ACYW-135
Disyorkan kepada pelancong / pelawat yang ke kawasan endemic seperti Afrika, Amerika Selatan dan Asia Tengah termasuk Arab Saudi bagi mereka yang mengerjakan haji atau umrah.
Diambil 2 minggu sebelum melancong / melawat dan boleh bertahan kira-kira 3 – 5 tahun
Imunisasi secara rutin kepada kanak-kanak adalah tidak digalakkan.
Boleh didapati di hospital kerajaan, klinik bergerak, poliklinik dan klinik swasta
Sejarah
Meningitis meningokokal telah dijumpai sejak 100 tahun yang lalu dan hanya beberapa dekad yang lampau para saintis berjaya mencari penyelesaian untuk menghalang jangkitan tersebut. tarikh-tarikh di bawah merupakan hari penting dalam penerokaan ini.
1805 -jangkitan ini telah merebak secara meluas
1807 -penemuan bacteria pertama yang menyebabkan penyakit meningokokal ialah Neisseria Meningitidis
1990 -awal dekad pertama abad ke-20 menunjukkan seramai 75 hingga 80 peratus manusia yang dijangkiti meningokokal mati
1994 -penciptaan ubat terbaru Penicillin berjaya digunakan untuk merawat pesakit meningitis meningokokal
1978 -pengenalan terhadap vaksin pertama yang mampu memberi perlindungan untuk melawan penyakit ini
1990 -pakar perubatan telah mengenalpasti bahawa golongan remaja dan orang dewasa adalah berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini
1997 -American College Health Association (ACHA) telah mengesyorkan supaya pihak kolej dan universiti perlu mendedahkan mengenai risiko penyakit ini kepada pelajar dan ibu bapa serta memastikan semua pelajar didedahkan dengan vaksin
1999 -
2000 -Advisory Committee on Immunization Practice (ACIP) ialah sebahagian daripada Centres for Disease Control and Prevention (CDC) mengesyorkan semua pelajar untuk mendapatkan vaksin ini
2003 -
2005 -FDA telah memberi lesen untuk mengeluarkan vaksin meningokokal yang baru. ACIP mengesyorkan vaksin meningokokal kepada kanak-kanak berumur 11 hingga 12 tahun, pelajar yang memasuki sekolah tinggi dan mahasiswa tahun pertama.
Wednesday, May 6, 2009
Guangzhou kami datang
Walaupun tidak ada catatan yang tepat mengenai tahun kedatangan Islam di China, Catatan dari Dinasti Tang telah menjelaskan bahwa telah terjalin hubungan diplomatik antara pemerintahan China dengan pemerintahan Khulafa` Ar-Rasyidin, iaitu Sayidina Ustsman bin Affan. Catatan itu menyebutkan, pada awal pemerintahan dinasti Tang telah sampai orang asing ke China dari Madinah, Annam, dan Kamboja. Tiga orang asing yang berasal dari Madinah telah menyembah langit tanpa tugu dan patung di dalam Masjid. Mereka juga tidak memakan daging babi, tidak meminum arak, dan menyembelih hewan sebelum memakannya. Mereka kemudian menetap di Canton dan mendirikan tempat yang menarik. Mereka berniaga dan amat patuh pada pimpinan yang mereka pilih. Orang asing yang dimaksudkan ialah pedagang Arab yang telah membentuk satu komuniti yang cukup penting di Canton.
Pada pemerintahan dinasti Tang, telah terjadi pemberontakan. Pemberontakan An Xi yang terjadi tahun 755 Masihi menyebabkan kerajaan China berada dalam keadaan kacau. Para pemberontak telah menguasai beberapa kota besar dan wilayah. Perkara itu memaksa pemerintahan dinasti Tang, tang Zuan Zong, melarikan diri ke wilayah Sincuan.
Pemberontakan itu itu telah menimbulkan kesedaran kepada dinasti Tang berikutnya, betapa pentingnya untuk menjalin hubungan dengan kerajaan Islam. Melalui hubungan yang terjalin itu, kerajaan Islam yang berpusat di Arab telah membantu dinasti Tang menghapuskan pemberontakan dan memulihkan keamanan di China.
Untuk menghargai jasa dan bantuan yang di berikan, kerajaan dinasti Tang membenarkan tentera-tentera Islam tinggal di daerah Fang.
Di bawah Era pemerintahan dinasti Tang, Islam berkembang pesat di China. Setelah pemberontakan An Xi berhasil di tumpaskan, China berada dalam keadaan yang damai, dan menyebabkan Negara itu menjadi pusat perdagaan dan kegiatan ekonomi.
Hubungan baik di antara pihak pemerintahan dengan umat Islam di teruskan oleh kerajaan dinasti Song yang menggantikan dinasti Tang. Bahkan, hubungan dengan kerajaan di Arab terus dikukuhkan dengan datangnya para pedagang Arab dan Parsi yang membanjiri kota-kota besar. Para pedagang dan saudagar Arab telah menggunakan tempat yang diberikan untuk mendirikan Masjid di Guang Zhou, sebuah wilayah yang terletak di selatan China.
Salah satu Masjid tertua yang masih ada dan di gunakan sebagai tempat untuk beribadah ialah Masjid Nujie. Masjid ini dibangun tahun 996 Masehi sewaktu China berada dibawah pemerintahan dinasti Song. Masjid itu memperlihatkan cirri budaya dan kesenian China, yang membezakan dengan bagunan China yang lain adalah hiasan kaligrafi dan tulisan Arab yang memenuhi seluruh ruangan Masjid itu.
Disanalah masih tersimpan naskah Al-Quran tulisan tangan dan dua makam ulama yang tersohor pada zaman pemerintahan Kubilai Khan. Sewaktu bangsa Mongol memerintah Negara China, kerajaannya dikenal sebagai dinasti Yuan.